Sinopsis Kemboja Putih

Mengisahkan tentang Kemboja (Eira Syazira), seorang gadis cantik, sopan santun dan lemah lembut, yang sering menjadi perhatian anak-anak muda kampung. Tinggal bersama ibu dan ayah tirinya, Kemboja menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pemuda bernama Amar (Fauzi Nawawi), dan ini telah menimbulkan rasa cemburu pada anak-anak muda yang lain terutamanya Zali (Ezany).

Zali adalah cucu angkat kepada Tok Ketua dan mempunyai beberapa orang bawahan. Mereka sentiasa bersama melakukan perkara-perkara tidak bermoral dan mereka selalu berhubung dengan Ako, ketua samseng dari Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun, Amar, seorang anak muda kampung yang dikenali kerana nilai-nilai murninya seringkali menjadi kebencian kepada Zali, hanya kerana Amar dan keluarganya bukanlah penduduk asal kampung tersebut. Dan disebabkan itu, Zali sentiasa mempengaruhi pemikiran orang-orang kampung untuk membenci dan menyisihkan Amar dan keluarganya.

Setelah mengetahui bahawa dia merupakan seorang anak hasil ketelanjuran ibunya, Zarina, dengan Rahim, Zali menyimpan dendam terhadap Rahim yang melarikan diri bersama Zarina. Kemboja dan ibunya dipukul oleh Zali bagi melepaskan geramnya pada Rahim. Kemboja cuba meminta pertolongan dari orang kampung dan akhirnya Zali ditangkap tetapi kawan-kawannya yang lain sempat melarikan diri. Selang beberapa hari Zali ditangkap, dia telah dibebaskan hasil pertolongan Ako. Akibat dari dipukul dengan kuat, Haryati (ibu Kemboja) telah jatuh sakit dan sebelum dia meninggal dunia, Haryati minta agar Kemboja dan Amar disatukan sebagai suami isteri kerana bimbangkan keselamatan Kemboja.

Setelah berkahwin, Amar dan Kemboja kini menjalani kehidupan mereka sebagai suami isteri dengan penuh kebahagiaan dan kasih sayang. Mereka berdua menetap di rumah peninggalan arwah ibu Kemboja. Namun demikian, dendam Zali masih membara, dan pada setiap waktu Zali sentiasa memikirkan cara untuk menghancurkan hidup Amar seterusnya memiliki Kemboja. Perasaan dengki dan cemburu terhadap pasangan kekasih ini kemudiannya berubah menjadi dendam yang dahsyat di dalam diri Zali, yang akhirnya mengundang kepada pelbagai tragedi yang tragis, sedih dan menyayat hati. Apakah yang akan dilakukan Zali, dan adakah ia mampu meragut kebahagian Kemboja dan Amar?